Friday, February 18, 2011

Keindahan Bukit Broga.




Seawal jam 5.45 pagi aku sudah tersedar dari lena. Agak awal dari biasa memandangkan hari ini merupakan hari cuti, yang mana kebiasaannya aku bangun sedikit lewat, tapi masih belum melepasi waktu Subuh. Kedinginin embun pagi memujuk-mujuk hatiku supaya menarik selimut kembali namun aku tidak ingin ikutkan rasa hati. Kalau sudah ditarik selimut, barangkali akan terlajak hingga ke tengahari. Ku gagahi juga melangkah menuju ke bilik air.


Selesai menunaikan solat Subuh, aku sibuk mengemas barang-barang ke dalam back pack. Tidak banyak yang ku bawa, sekadar topi untuk mengelakkan panas terik mentari, sebotol air, wallet dan roti untuk alas perut. Nah, untuk apakah semua itu? Hari ini aku akan pergi mendaki Bukit Broga bersama ahli-ahli yang telah berjanji untuk turut serta. Mungkin bukan pengalaman pertama aku mendaki bukit, tapi setelah sekian lama bergelumung dengan dunia pekerjaan menyebabkan diri ini agak sibuk untuk mengaktifkan diri dengan aktiviti-aktiviti luar. Sekadar berjogging di taman dan menaiki basikal sahaja boleh dikira dengan jari, apatah lagi mahu mendaki bukit begini. Perasaan khuatir menyelubungi diri aku, takut-takut seandainya belum sempat sampai ke puncak, diriku sudah tidak berdaya. Namun ku buang jauh-jauh perasaan itu. Malaysia boleh bukan? Yakin Boleh!



Memandangkan aku dan erun tidak biasa dengan jalan-jalan di Semenyih, kami mengambil masa sedikit untuk sampai ke tempat dituju. Dengan bantuan google map, alhamdulillah selamat sampai. Sementara menunggu abang aku dan teman beliau sampai dari Seremban, aku dan Erun bersarapan terlebih dahulu di gerai tepi jalan. Sempat juga ku bungkus kuih-muih untuk bekalan jika lapar nanti.


Pendakian bermula seawal jam 8.15 pagi. Perjalanan yang mencabar dan para pendaki yang ramai membuatkan kami mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih untuk sampai ke puncak. Percikan peluh di dahi dan kaki yang terasa kian berat tidak ku hiraukan asalkan dapat sampai ke destinasi yang dituju. Perjalanan yang dilalui tidak begitu mudah kerana kami perlu melalui denai yang kecil, jalan yang berliku, tanah yang curam dan lorong yang semak. Sempat juga bertegur sapa dengan pendaki-pendaki yang sedang mendaki turun. Kami kadangkala berganding-bahu memaut tangan di antara satu sama lain. Walaupun tidak pernah berkenalan sebelum ini, namun ukhwah yang terjalin di bukit broga merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.


Perasaan gembira dan puas tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila kami berjaya sampai ke puncak Bukit Broga lebih kurang pukul 9.20pagi. Mentari kian memunculkan dirinya, walau bahang terasa namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk mengambil gambar kenang-kenangan. Hampir kesemua kawasan menjadi tempat untuk kami menggayakan diri di hadapan kamera termasuklah di atas batu, di pinggir bukit dan di atas pokok. Penat lelah sebentar tadi seakan-akan lenyap apabila melihat keindahan alam ciptaan Tuhan dari puncak Bukit Broga. Subhanallah.


Setelah puas menghabiskan masa di puncak bukit, kami segera mendaki turun untuk pulang. Masing-masing hampir kehabisan tenaga apabila sampai di kaki bukit, lantas kami terus menuju ke gerai berhampiran yang ada menjual air minuman dan air kelapa segar. Kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing. Sesungguhnya pengalaman mendaki Bukit Broga adalah pengalaman manis yang ingin kami ulangi lagi jika ada kesempatan di lain waktu.




3 comments:

  1. tahniah..
    next..expedisi Trans Titiwangsa lak ye..mencabar sket :p

    ReplyDelete
  2. ayat... pandai ukir ayat.. nghhaa.. mcm novel plak

    ReplyDelete
  3. alif: next, bukit tabur..

    rixals: erk..u komen entry i?? btul ke ni? btul ke ni..? (sambil gosok2 mata berulang kali)

    ReplyDelete

Thank You!! ^_^

Labels

AGAMA (52) AWARD (2) BEBELAN KU (87) BERITA (6) CERITA (41) CINTA (13) COhttp://www.blogger.com/img/blank.gifNTEST (1) CONTEST (8) DIRIKU (33) DIY (8) EVENT (14) FAMILY (19) HANAN (5) I.N.F.O. (21) JALAN-JALAN (9) K.A.H.W.I.N. (9) KERJA (2) LAWAK (2) LUAHAN (18) LYRICS (5) M.A.K.A.N. (1) MAKAN (9) NUKILAN (10) OPINIONS (3) P.E.N.G.A.L.A.M.A.N. (15) PREGNANT (11) PRODUK (3) R.E.S.I.P.I. (1) SEDIH (7) TAG (3) TIPS (38)

Followers