Monday, February 21, 2011

Mengapa Doa Tidak dimakbulkan?

Seseorang bertanya kepada Ibrahim Bin Adham,Wahai Ibrahim Bin Adham, kami telah berdoa kepada Allah tetapi masih tidak diperkenankanNya. Khabarkan kepada kami apakah sebab-sebabnya. Ibrahim Bin Adham Menjawab,Doa terhijab disebabkan sepuluh perkara...

1. Kamu mengenali Allah SWT, tetapi kamu tidak menunanikan hakNya (perintahNya)

2. Kamu membaca Al-Quran, tapi kamu tidak beramal dengannya.

3. Kamu mendakwa iblis itu musuh kamu, tapi menurut hasutannya.

4. Kamu mendakwa mencintai Rasulullah SAW tapi kamu meninggalkan amalan dan sunnahnya.

5. Kamu mendakwa mencintai syurga, tapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya.

6. Kamu mendakwa membenci neraka, tapi kamu tidak meninggalkan perbuatan dosa.

7. Kamu mendakwa mati itu benar, tapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya.

8. Kamu sibuk menceritakan keaiban orang lain, tapi kamu lupa keaiban diri sendiri.

9. Kamu makan rezeki Allah, tapi kamu lupa mensyukurinya.

10. Kamu menghantar jenazah ke kubur, tapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.




Sumber: Zul Ikhwan Zahari

Bukumuka Itu.

Facebook.


Mukabuku.


Bukumuka.


Jika Greenbook adalah Buku Hijau..Facebook mungkin lah Buku Muka. Uhuhuu.


Mengenang kembali saat kemunculan facebook kira-kira 4 tahun yang lalu, membuat aku tersenyum and tergelak sendiri. Jika di awal kemunculannya, tidak ku hiraukan ajakan teman-teman sekuliah untuk turut serta membuka akaun di dalam facebook. Mungkin mengenangkan tidak begitu ramai user dan pada ketika itu dunia lebih popular dengan friendster dan myspace. Tambahan pula, jadual harian begitu padat dengan kuliah dan tugasan yang perlu disiapkan sehingga masa untuk perkara lain begitu terbatas.


Diriku mula mengaktifkan diri dengan facebook semenjak melangkah kaki ke alam pekerjaan. Namun setelah pihak syarikat menyekat akses ke facebook, aku hanya aktif berfacebook ketika di rumah. Bagus juga begitu kerana facebook begitu menghayalkan. Sekurang-kurangnya dengan ketiadaan aplikasi itu di ofis, para pekerja boleh memberi lebih tumpuan terhadap pekerjaan mereka. Itulah yang diharapkan.


Facebook begitu banyak kebaikan dan keburukannya. Sesuai dengan fitrah setiap kejadian dan setiap perkara, ada kebaikan dan keburukan. Terpulang kepada diri masing-masing untuk membuat penilaian. Yang terbaru aku terdengar mengenai facebook, ada pasangan di Mesir yang memberi nama anak perempuannya sebagai Facebook. Wahhh! ^_^ Facebook juga kadang-kadang membuat aku terharu bila dapat berjumpa kembali dengan teman-teman lama di dunia persekolahan. Alam persekolahan aku yang berpindah-randah membuatkan aku mempunyai ramai rakan dari sekolah yang berbeza. Facebook juga menjadi medium untuk kami berinteraksi dan mengetahui perkembangan di antara satu sama lain. Melihat gambar-gambar perkahwinan mereka, anak-anak dan keluarga mereka yang bahagia memang cukup mengujakan.


Kadangkala wujud juga rasa tidak percaya dan lucu bila terlihat ada di antara rakan sekolah yang dahulu nya adalah musuh ketat ketika di sekolah dan selalu bergaduh, namun mereka kini telah selamat mendirikan rumahtangga dan hidup bahagia. Tidak kurang juga yang bertahun-tahun menyulam cinta, namun hubungan yang terjalin putus di tengah jalan. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Sehebat mana pun kita cuba pertahankannya, jika sudah ditakdirkan Tuhan, akan terpisah jua..Jika tanpa facebook, mungkin semua cerita itu tidak diketahui dengan mudah.
Aku sedaya upaya mengawal privacy akaunku di dalam facebook. Tidak terlalu banyak gambar perlu ku paparkan. (Itu mungkin saja, kerana aku bukan artis!) dan info yang terpapar mengenai diriku juga adalah sangat terbatas.


Namun hari demi hari kurasakan aplikasi facebook semakin membosankan. Jika tidak kerana terikat dengan game Farmville, mahu saja aku tinggalkan dunia maya itu. Susunan layout nya semakin mengusutkan dan membuatkan browser ku menjadi berat. Kadangkala muncul notification, namun bila aku klik, tiada pula notification itu. Mungkin facebook sudah terlalu padat dan tidak begitu terkawal. Jika sebeum ini aku adalah pengguna facebook yang tegar, namun kini, rela saja ku tinggalkan facebook dan beralih kepada televisyen. Namun hal itu tidak selalu terjadi kerana aku juga bukan lah peminat televisyen.

Friday, February 18, 2011

Keindahan Bukit Broga.




Seawal jam 5.45 pagi aku sudah tersedar dari lena. Agak awal dari biasa memandangkan hari ini merupakan hari cuti, yang mana kebiasaannya aku bangun sedikit lewat, tapi masih belum melepasi waktu Subuh. Kedinginin embun pagi memujuk-mujuk hatiku supaya menarik selimut kembali namun aku tidak ingin ikutkan rasa hati. Kalau sudah ditarik selimut, barangkali akan terlajak hingga ke tengahari. Ku gagahi juga melangkah menuju ke bilik air.


Selesai menunaikan solat Subuh, aku sibuk mengemas barang-barang ke dalam back pack. Tidak banyak yang ku bawa, sekadar topi untuk mengelakkan panas terik mentari, sebotol air, wallet dan roti untuk alas perut. Nah, untuk apakah semua itu? Hari ini aku akan pergi mendaki Bukit Broga bersama ahli-ahli yang telah berjanji untuk turut serta. Mungkin bukan pengalaman pertama aku mendaki bukit, tapi setelah sekian lama bergelumung dengan dunia pekerjaan menyebabkan diri ini agak sibuk untuk mengaktifkan diri dengan aktiviti-aktiviti luar. Sekadar berjogging di taman dan menaiki basikal sahaja boleh dikira dengan jari, apatah lagi mahu mendaki bukit begini. Perasaan khuatir menyelubungi diri aku, takut-takut seandainya belum sempat sampai ke puncak, diriku sudah tidak berdaya. Namun ku buang jauh-jauh perasaan itu. Malaysia boleh bukan? Yakin Boleh!



Memandangkan aku dan erun tidak biasa dengan jalan-jalan di Semenyih, kami mengambil masa sedikit untuk sampai ke tempat dituju. Dengan bantuan google map, alhamdulillah selamat sampai. Sementara menunggu abang aku dan teman beliau sampai dari Seremban, aku dan Erun bersarapan terlebih dahulu di gerai tepi jalan. Sempat juga ku bungkus kuih-muih untuk bekalan jika lapar nanti.


Pendakian bermula seawal jam 8.15 pagi. Perjalanan yang mencabar dan para pendaki yang ramai membuatkan kami mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih untuk sampai ke puncak. Percikan peluh di dahi dan kaki yang terasa kian berat tidak ku hiraukan asalkan dapat sampai ke destinasi yang dituju. Perjalanan yang dilalui tidak begitu mudah kerana kami perlu melalui denai yang kecil, jalan yang berliku, tanah yang curam dan lorong yang semak. Sempat juga bertegur sapa dengan pendaki-pendaki yang sedang mendaki turun. Kami kadangkala berganding-bahu memaut tangan di antara satu sama lain. Walaupun tidak pernah berkenalan sebelum ini, namun ukhwah yang terjalin di bukit broga merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.


Perasaan gembira dan puas tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila kami berjaya sampai ke puncak Bukit Broga lebih kurang pukul 9.20pagi. Mentari kian memunculkan dirinya, walau bahang terasa namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk mengambil gambar kenang-kenangan. Hampir kesemua kawasan menjadi tempat untuk kami menggayakan diri di hadapan kamera termasuklah di atas batu, di pinggir bukit dan di atas pokok. Penat lelah sebentar tadi seakan-akan lenyap apabila melihat keindahan alam ciptaan Tuhan dari puncak Bukit Broga. Subhanallah.


Setelah puas menghabiskan masa di puncak bukit, kami segera mendaki turun untuk pulang. Masing-masing hampir kehabisan tenaga apabila sampai di kaki bukit, lantas kami terus menuju ke gerai berhampiran yang ada menjual air minuman dan air kelapa segar. Kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing. Sesungguhnya pengalaman mendaki Bukit Broga adalah pengalaman manis yang ingin kami ulangi lagi jika ada kesempatan di lain waktu.




Tuesday, February 1, 2011

Tidak Sihat

Kurasakan suhu begitu dingin, mencengkam hingga ke tulang. Ku merenung air-cond di atas siling. Senyap, menandakan ia tidak dihidupkan. Memang sengaja aku tidak memasang air-cond untuk beberapa hari ini. Namun tubuhku masih menggigil kesejukan. Bahana apakah ini? Hidung juga kurasakan tidak selesa dengan kehadiran cairan asing. Nah, tidak perlu ku ungkapkan ia dengan lebih mendalam, bakal menimbulkan rasa geli di hati. Tangan ku usap ke dahi, tidak panas, dan tidak pula sejuk. Normal. Namun tubuhku tetap tidak selesa dengan keadaan ini. Mungkin cuaca yang tidak menentu menyebabkan tubuhku juga bertindak balas terhadap perubahan itu.


Minggu lepas baru saja rekod ku tercalar bahana terpaksa mengambil MC satu hari. Tatkala tubuh kian menggeletar, aku gagahkan juga diri melangkah ke klinik. Alhamdulillah, rehat diberi untuk satu hari. Mungkinkah bahana yang sama akan berulang kembali kini? Astagfirullah, tidak seharusnya aku menyebutnya sebagai bahana. Namun sebaliknya sakit itu adalah ujian Tuhan untuk hamba-hambanya dan sebagai penghapus dosa-dosa kecil. Baru saja diuji sekecil ini mahu mengeluh. Bagaimana pula mahu menghadapi ujian yang lebih besar kelak?


Oh, baru sebentar tadi aku memperolehi tips baru. Orang yang sedang selesema, tidak boleh minum air limau, samada suam ataupun berais. Jika diamalkan juga, selesema itu bukan saja tidak beransur sembuh, malahan semakin melarat. Kandungan asid dalam buah limau akan menyebabkan tekak bertambah perit dan selesema lambat sembuh. Sebaliknya, perbanyakkan minum air suam.


Sabarlah wahai tubuhku. Tinggal satu hari saja untuk dirimu berkhidmat mengerah tenaga. Lusa adalah hari cuti dan rehatkanlah dirimu sepuas-puasnya.




Banjir di Kampung Halaman

Sejurus mendapat email dari seorang sahabat berkenaan banjir yang melanda selatan tanah air, hati terus terdetik untuk menghubungi ibu tersayang. Setakat nie sudah tiga terkorban, dua di Johor dan seorang di Melaka. Risau juga dengan keadaan di kampung walaupun rumahku terletak di kawasan yang agak tinggi. Sayup-sayup suara ibu menjawab salam. Alhamdulillah, kawasan rumahku tidak dilanda banjir walaupun kampungku sudah dinaiki air. Ibu menjelaskan sebilangan penduduk terpaksa dipindahkan ke balai raya sebagai pusat perpindahan sementara kerana kawasan rumah mereka sudah dinaiki air dan tidak selamat untuk didiami. Aku bersyukur, walaupun rumahku tidak sebesar mana, namun setakat nie kami bahagia tinggal di situ, ia terletak di kawasan tanah yang agak tinggi dan terhindar dari air bah yang kehadirannya tidak terjangka. Ibu menjelaskan, "kalau rumah kita banjir, rumah-rumah kat hujung kampung tu dah tenggelam sampai ke bumbung.." melihat kepada keadaan geografi di tempat kami.


Terkenang sewaktu aku masih kanak-kanak, jambatan di hadapan rumahku hanya dibina dari kayu, yang selalu orang gunakan untuk membina rumah. Selama itu kurasakan jambatan itu sudah cukup kukuh, namun malang tak berbau, sekitar tahun 1995, kampungku dilanda banjir, walaupun kawasan rumahku masih selamat, namun sungai di hadapan rumah yang mengalir deras telah menghanyutkan jambatan tersebut. Kerana tidak mahu peristiwa lama berulang, ayah membina jambatan yang lebih besar dan diturap dengan tanah merah. Alhamdulillah, jambatan itu masih kukuh sehingga kini.


Semoga hujan sudah reda dan keadaan adalah selamat kerana esok aku akan berangkat pulang ke kampung halaman. Cuti sempena Hari Raya Cina akan kuhabiskan bersama ahli keluarga di rumah. Oh, alangkah seronoknya.

Labels

Followers