Waspada lelaki menyamar polis guna buku saku
KUALA LUMPUR 1 Nov. - Orang ramai khususnya warga kota diminta berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penjenayah yang menggunakan buku saku berwarna biru dan tertera lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendakwa mereka kononnya adalah anggota dan pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, kegiatan menyamar sebagai anggota polis ini sering berlaku terhadap mangsa yang terdiri daripada golongan wanita.
Menurutnya, kebanyakan wanita yang ditahan oleh individu yang mendakwa sebagai polis, biasanya mudah cemas dan ini menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa.
"Kita meminta orang ramai khususnya wanita supaya berwaspada kerana penjenayah ini hanya menunjukkan sebuah buku kecil berwarna biru tertera lambang PDRM untuk menyamar sebagai anggota pasukan ini.
"Saya ingin maklumkan di sini bahawa setiap anggota atau pegawai polis sepatutnya memperkenalkan diri mereka kepada orang awam dengan menunjukkan kad kuasa berwarna biru atau kuning dan bukannya buku saku," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.
Wan Abdul Bari memberitahu, baru-baru ini, empat wanita mendakwa mereka menjadi mangsa individu yang menyamar sebagai polis sebelum disamun dalam kejadian berasingan di sekitar Bangsar.
"Dalam kejadian pertama, mangsa yang berusia 22 tahun dan bekerja di sebuah butik disamun seorang lelaki bermotosikal yang mendakwa sebagai polis.
"Wanita itu 'ditahan' oleh lelaki tersebut pada 18 Oktober lalu selepas dilihat menggunakan telefon semasa memandu," katanya.
Menurut beliau, kejadian yang sama menimpa tiga lagi mangsa iaitu pada 22 dan 27 Oktober lalu.
Katanya, penjenayah dipercayai individu juga turut mengenakan jaket polis dan berseluar biru untuk memperdayakan mangsa sebelum mengarahkan wanita itu menyerahkan lesen dan barangan berharga lain.
Tambahnya, hasil siasatan lanjut, polis menahan seorang lelaki berusia 31, yang bekerja sebagai penghantar surat pada pukul 2 petang ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Kami mendapati lelaki terbabit menggunakan nombor plat palsu dan motosikal curi. Buat masa ini, suspek masih disiasat sama ada dia terlibat dalam jenayah penyamaran itu," katanya lagi.
p/s: Macam-macam taktik la orang sekarang guna untuk dapatkan duit...Huhuu..
Credit to: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment
Thank You!! ^_^